Wan Muzafar Wan Kamis
Salam

Terima kasih kepada semua yang mengunjungi weblog saya.

Ada yang mencadangkan beberapa perubahan yang baik seperti menukarkan menjadi webstore.

Sepertimana yang saya nyatakan-ini adalah weblog bukannya online store.

Sesiapapun boleh membina online store, sesiapapun boleh bercakap mengenai herba dan sesiapapun boleh mengupah pengilang untuk menghasilkan produk untuk dipasarkan.

Dunhill dan Rolex boleh didapati pasar malam dan di gedung-gedung besar -saya percaya Encik Dunhill tidaklah terlalu gusar mengenainya.

Keutamaan saya adalah melindungi, mendokumen dan menyalurkan ketamadunan ilmu perubatan Melayu untuk kebaikan bangsa dan generasi akan datang. Saya juga mengimpikan perubatan Melayu diberi tempat sepertimana perubatan ayurvedic dan China di universiti dan institusi ternama dunia. Weblog yang serba kekurangan ini akan menjadi perantara untuk memperkenalkan kehebatan pusaka perubatan Melayu untuk kebaikan sejagat. InsyaAllah, versi Bahasa Sepanyol dan Jepun akan menyusul.

Cuba saudara-saudari amati, selepas hujan ( mendung) buah-buahan dan tebu menjadi kurang manis untuk beberapa hari. Selepas disinari matahari barulah buah-buahan kembali manis. Zon khatulistiwa paling banyak menghasilkan buah-buahan manis berbanding zon lain. Anggur dan epal tidak semanis rambutan dan durian.

Manisan sangat penting untuk manusia, untuk tenaga mental dan fizikal. Selepas memakan benda manis kita tiba-tiba tertarik secara semulajadi untuk memakan makanan kelat seperti jambu,ulaman dan mengkudu. Dalam tulisan saya yang lalu, saya nyatakan penawar manis adalah kelat mengikut amalan pusaka kita.

Apa yang akan saya nyatakan di weblog mungkin akan menyingung perasaan dan mengundang kontraversi. Saya hanya ingin menyatakan ilmu yang saya pelajari semenjak kecil dan ingin memelihara untuk generasi akan datang. Bangsa Melayu mempunyai tamadun perubatannya sendiri. Sebagai insan kampung yang kerdil saya terlebih dahulu mengakui mungkin akan ada salah silapnya.

Cuba saudara/i amati pokok buah-buahan yang manis tadi akarnya keluar keatas tanah. Akar keluar keatas tanah adalah tanda tumbuhan itu boleh dimakan.

Jika akar tidak keluar keatas tanah adalah petanda tumbuhan itu tidak boleh dimakan atau hanya boleh dimakan dalam jumlah yang sedikit.

Contoh tumbuhan yang akarnya tidak keluar adalah tongkat ali dan tunjuk langit.

Saya percaya para pengkaji moden yang tentunya lebih arif dari saya bersetuju bahawa tumbuhan tersebut sebaiknya dimakan dengan jumlah yang sedikit. Saya mohon untuk mereka memberi komen.

Ada keseimbangan di alam ini, kita tidak boleh mengambil sesuatu herba secara tersendiri dan mencanangkan sebagai mempunyai khasiat yang hebat. Ibarat membawa sesuatu haiwan kedalam persekitaran yang tiada musuh semulajadinya ( cth membawa ikan piranha ke Sungai Kelang) ianya akan membawa lebih keburukan dari kebaikan.

Petanda lain adalah apabila daun sesuatu tumbuhan tidak dimakan ulat. Contoh paling mudah adalah lidah buaya. Mengikut amalan perubatan lama adalah dinasihatkan kita berhati-hati dalam penggunaannya.

Bangsa Melayu telah hidup lebih 2000 tahun di alam kepulauan ini dan kita lebih mengetahui mengenainya dari orang lain. Flora dan faunanya telah kita rekodkan dan perturunkan sejak zaman berzaman. Kenalilah ilmu warisan kita.

Paling saya bimbangi adalah kejadian seperti yang menimpa India apabila ekstrak neem yang menjadi amalan ribuan tahun dipatenkan oleh syarikat multinasional Amerika Syarikat. Kita (rumpun bangsa Melayu) mempunyai penawar untuk berbagai penyakit melibatkan berbillion manusia.

Marilah sama-sama menghargainya.
0 Responses

Post a Comment